TOK NAN: PUTERA KENYALANG

DOKUMENTARI
(BIOGRAFI TOK NAN – PUTERA KENYALANG) – FINAS (2019)

Sinopsis:
TOK NAN: PUTERA KENYALANG

Tok Nan: Putera Kenyalang, merupakan sebuah dokumentari yang menelusuri kisah hidup dan perjuangan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, seorang pemimpin Sarawak yang bukan sahaja disayangi oleh kaum keluarga dan sahabat handai, tetapi juga oleh seluruh rakyat Sarawak.

Sifat beliau yang sentiasa mesra dan sederhana,namun begitu tegas dalam memperjuangkan nasib rakyat Sarawak khasnya, akan sentiasa dikenang dan diabadikan dalam lipatan sejarah negeri Sarawak dan juga Malaysia umumnya.
Melalui dokumentari ini , dapat dilihat daripada awal kehidupan beliau lagi , bahawa Tan Sri Adenan Satem yang lebih popular dengan gelaran Tok Nan, merupakan seorang insan dan pemimpin yang berani, tegas dan berjiwa rakyat. Pengalaman yang beliau timba semasa zaman mudanya dalam pelbagai bidang dan profesion, telah digunakan dengan secukupnya sebagai bekalan apabila beliau mula mencipta nama dalam senario politik negeri Sarawak.

Manakala melalui beberapa temuramah dengan mereka yang begitu rapat dengan Tok Nan mendapati bahawa beliau juga merupakan seorang insan yang begitu mengambil berat tentang hal keluarga dan sahabat handai . Sifat sederhana beliau yang sentiasa membantu dan tidak mahu dipuji menyebabkan beliau akan terus diingat dan disayangi oleh mereka yang mengenali beliau secara rapat. Manakala sifat jujur, ikhlas dan amanahnya menyebabkan Tok Nan begitu senang didampingi bukan sahaja oleh ahli keluarga dan sahabat handai tetapi juga oleh masyarakat umumnya.

Tok Nan mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb 2014 daripada Tun Abdul Taib Mahmud yang meletakkan jawatan tersebut pada 12 Feb tahun yang sama. Dan
dalam dokumentari ini juga kita dapat saksikan bagaimana beliau sebagai Ketua Menteri, cuba menyelesaikan segala masalah dengan cara diplomasi ,pragmatik, serta praktikal. Segala usaha yang beliau lakukan semasa bergelar Ketua Menteri bukan sahaja untuk kemajuan dan pembangunan rakyat, tetapi juga telah menyentuh aspirasi rakyat untuk sama-sama menggembeling tenaga membangunkan negeri Sarawak.

Tok Nan dengan keazaman yang ada pada dirinya, membuktikan bahawa beliau begitu berani dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang insan dan pemimpin yang diiktiraf sebagai Putera Kenyalang akan terus dikenang sepanjang zaman.